Anak-anak Mahathir ‘Beruntung'


Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini membicarakan soal golongan miskin dan kaya.

Seorang individu yang digelar sebagai Bapa Kronisme dan Nepotisme di negara ini, berani mengulas tentang isu berkenaan.

Layakkah Mahathir untuk mengutarakan hal berkaitan golongan miskin dan kaya?

Walhal dia sendiri tidak pernah memikirkan tentang golongan miskin ketika era pemerintahannya.

Mengapa tiba-tiba mahu membicarakan soal golongan miskin dan kaya? Apa yang dia cuba buktikan melalui kenyataannya itu?

Ingin menunjukkan dia adalah seorang yang prihatin kepada isu semasa khususnya melibatkan golongan miskin?
Ketika Mahathir dan anak-anaknya sedang menikmati kekayaan dengan menaiki pelbagai kereta mewah, masih ada yang terpaksa mengharungi liku-liku sukar pergi ke sekolah.

Ada kanak-kanak yang terpaksa menaiki sampan dan meredah titian usang semata-mata untuk menuntut ilmu di sekolah.

Namun anak-anak Mahathir sejak kecil dilimpahi kemewahan dan tidak pernah merasai kesusahan kerana bapa mereka adalah seorang Perdana Menteri selama dua dekad.

Malah, kesemua kekayaan mereka dibantu oleh pengaruh Mahathir yang memberikan tender-tender projek kerajaan tanpa melalui proses sukar.

Mahathir sendiri berkata 'ada kecenderungan golongan kaya menjadi semakin kaya'. Mahathir dan anak-anaknya adalah contoh paling terdekat.
Ketika Mahathir dan anak-anaknya seronok mengira wang berbilion ringgit masuk ke dalam poket mereka, masih ada rakyat yang terpaksa bekerja lebih 12 jam untuk menyara kehidupan pada zaman penuh mencabar ini.

Ada rakyat yang bekerja sebagai penghantar makanan, perlu meredah hujan dan pelbagai cabaran lain untuk memastikan makanan tersedia di meja rumah mereka.

Ada yang perlu bekerja lebih masa untuk membayar komitmen bulanan semakin meningkat ekoran keadaan ekonomi dunia kian mencabar pada masa kini.

Namun, Mahathir memperlekehkan rakyat Malaysia dengan mendakwa mereka terlalu bergantung kepada bantuan berbanding kerja keras.

Ibarat bercakap di depan cermin. Mahathir sendiri sering 'menghulurkan bantuan' kepada anak-anaknya di kala mereka berdepan masalah dalam perniagaan.

Adakah Mahathir lupa dia pernah 'bail out' syarikat anak-anaknya menggunakan dana kerajaan kerana tidak mahu mereka jatuh bankrap? Bukankah itu dikira sebagai 'bantuan' juga?
Mahathir pernah mengeluarkan kenyataan bahawa dia ingin merapatkan golongan kaya dan miskin sebelum ini.

Namun, adakah dia benar-benar merealisasikan perkara itu? Kata hanya tinggal kata.

Siapakah yang benar-benar menerima manfaat daripada Mahathir? Sudah tentu kroni-kroninya.

Di saat kroni-kroninya sibuk membina empayar mereka hasil bantuan Mahathir, rakyat marhaen terpaksa berhempas pulas berniaga di tepi jalan mencari rezeki.

Ada dalam kalangan penjual terpaksa berdepan situasi gerai mereka disita. Ada juga yang tidak dapat berniaga ekoran musim tengkujuh ketika ini.

Namun Mahathir mendakwa sikap mengharapkan insentif dalam kalangan usahawan adalah salah.

Rakyat tidak menagih sepenuhnya insentif daripada kerajaan sebaliknya sedikit bantuan untuk meringankan beban mereka.

Bagaimana pula dengan 'insentif-insentif kemewahan' yang dihulurkan kepada Mahathir oleh kroni-kroninya? Adakah itu satu perkara betul buat Mahathir?
Kesimpulannya, tidak layak untuk Mahathir berbicara soal jurang kemiskinan atau kekayaan.

Bagaimana Mahathir yang digelar sebagai Bapa Kronisme dan Nepotisme tidak malu untuk mengeluarkan kenyataan tentang isu tersebut?

Adakah Mahathir lupa apa yang dia sudah lakukan terhadap rakyat?

Mahathir tak usah membuktikan dia masih relevan. Masa sudah terlambat. Rakyat tidak lagi mempercayai apa sahaja yang diperkatakan oleh Mahathir.

Adalah lebih baik Mahathir duduk diam dan tidak mencampuri sebarang urusan negara lagi.

Comments