Kes Mahkamah Syed Saddiq: Politik Wang Haram Dan Rasuah


Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mula membela diri di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 22 Februari lalu terhadap empat pertuduhan yang dihadapinya.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali iaitu Penolong Bendahari Armada Bersatu yang diamanahkan dana Armada berjumlah RM1 juta, telah melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Syed Saddiq bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan.

Kes melibatkan Syed Saddiq mendapat perhatian ramai khususnya selepas beliau tidak dipilih menjadi ahli Kabinet Kerajaan Perpaduan.

Ramai membuat spekulasi bahawa kes mahkamah Syed Saddiq hanya akan memberi imej buruk kepada Kerajaan Perpaduan, justeru menjadi antara faktor utama beliau tidak dilantik.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/02/1067505/syed-saddiq-mula-bela-diri-terhadap-empat-tuduhan-jenayah-hari-ini


Kes rasuah dan pengubahan wang haram dalam kalangan ahli politik sering menerima kecaman daripada rakyat kerana memberi pelbagai kesan buruk kepada negara serta masyarakat.

Kesan pertama, menjejaskan kepercayaan rakyat. Pengubahan wang haram serta rasuah dalam kalangan ahli politik boleh menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap institusi politik.

Rakyat berkemungkinan hilang kepercayaan terhadap wakil rakyat mereka.

Mereka akan berpendapat bahawa wakil rakyat akan bertindak demi kepentingan peribadi dan bukannya untuk rakyat.

Keadaan ini akan menjadi lebih buruk sekiranya pihak berkuasa gagal mengambil tindakan tegas terhadap pengubahan wang haram serta rasuah.

Sumber: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/pandangan/2021/09/29/pengubahan-wang-haram-jenayah-kewangan-yang-semakin-kompleks/


Kesan kedua, mendorong penyebaran amalan yang tidak bermoral serta menyumbang kepada konflik sosial.

Apabila pengubahan wang haram dan rasuah berlaku dalam kalangan ahli politik, jenayah itu akan memberi isyarat buruk kepada orang ramai bahawa amalan yang tidak sihat boleh diterima dalam politik negara.

Amalan tersebut boleh merebak dalam kelompok masyarakat dan mengurangkan standard moral dan etika.

Malahan, ahli politik yang terlibat dalam jenayah seumpama itu sering menyalahgunakan kuasa mereka untuk memberi manfaat kepada individu atau kumpulan tertentu.

Segelintir ahli politik kerap mengabaikan kepentingan orang ramai demi mengejar agenda peribadi.

Maka, situasi itu boleh mengurangkan peluang sesetengah orang untuk memperoleh keuntungan yang setara dengan segelintir individu yang rapat dengan ahli politik.

Sumber: https://www.astroawani.com/berita-malaysia/memahami-pengubahan-wang-haram-dan-strategi-pemulihan-aset-323120


Kesan ketiga, menjejaskan imej serta keselamatan negara.

Skandal pengubahan wang haram dan rasuah dalam kalangan ahli politik turut boleh merosakkan imej negara di peringkat antarabangsa.

Negara yang dianggap korup boleh kehilangan keyakinan dan sokongan dari negara-negara lain, sekali gus akan menjejaskan hubungan diplomatik serta perdagangan.

Amalan tidak bermoral itu juga boleh membahayakan keselamatan negara.

Hal ini kerana pengubahan wang haram serta rasuah sering dikaitkan dengan aktiviti jenayah seperti pemerdagangan manusia dan pelbagai jenayah lain.

Sekiranya ahli politik memiliki hubungan dengan kumpulan penjenayah, mereka boleh mempengaruhi dasar dan tindakan kerajaan untuk membolehkan aktiviti jenayah di negara ini berterusan.

Selain itu, pihak asing juga berkemungkinan boleh mengambil kesempatan untuk mempengaruhi politik Malaysia jika ahli politik mendapatkan wang haram dan rasuah dari luar negara.

Ini boleh menjejaskan kedaulatan dan kebebasan politik negara.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/12/761606/cuci-wang-merugikan-negara


Tuntasnya, pengubahan wang haram dan rasuah dalam kalangan ahli politik seperti Syed Saddiq bukanlah satu perkara yang boleh dipandang ringan.

Ia akan memberi impak buruk yang besar terhadap sistem politik dan rakyat secara keseluruhannya.

Amalan berkenaan menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap sistem politik selain mengakibatkan ketidakstabilan politik dalam negara.

Ahli politik seperti Syed Saddiq sewajarnya memelihara integriti politik dan menunjukkan tindakan yang telus serta berkualiti bagi memastikan kepercayaan rakyat terhadap sistem politik.

Comments