Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris merupakan salah satu contoh individu yang hanya berani bercakap tanpa kata-katanya tiada 'isi'.
Dia adalah individu yang cuba menggunakan hak 'kebebasan bersuara' sebagai mediumnya untuk menyuarakan rasa tidak puas hatinya terhadap kerajaan mahu pun institusi diraja.
Namun realitinya, di sebalik 'keberanian' itu, semua dakwaan atau tuduhannya terhadap pihak-pihak tertentu memakan dirinya sendiri.
Bukan satu, tetapi lebih daripada sepuluh kes melibatkan penghinaan, fitnah dan tuduhan terpalit dengan dirinya.
Mahkamah telah memerintahkan Papagomo membayar ganti rugi RM800,000 serta kos guaman RM500,000 kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes saman fitnah.
Papagomo didakwa menyiarkan perkataan fitnah dan meletak imej mengaitkan Anwar dalam video seks di blognya.
Dalam kes berasingan, Papagomo diperintahkan membayar ganti rugi am RM200,000; ganti rugi teladan RM300,000 dan kos guaman RM50,000 kepada seorang ahli perniagaan, Abdul Razak Mohd Noor kerana menyiarkan penerbitan artikel berunsur fitnah dalam blognya.
Sementara itu, Papagomo juga diarahkan membayar kos guaman RM20,000 kepada seorang peguam, Datuk Sukri Mohamed bagi prosiding di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan selepas didapati bersalah menyiarkan artikel berbaur fitnah.
Bagi kes saman fitnah yang difailkan oleh bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, Papagomo didapati melanggar perintah injunksi mahkamah.
Akibatnya, dia dipenjarakan selama 30 hari dan diarahkan membayar kos RM30,000 kepada Razarudin. Papagomo kemudiannya terpaksa mengeluarkan kenyataan maaf secara terbuka kepada Razarudin.
Papagomo turut disabitkan bersalah kerana membuat hantaran yang menghasut dan mendatangkan kebencian terhadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim. Dia didenda RM4,000 atau penjara empat bulan jika gagal membayar denda tersebut.
Kes-kes melibatkan Papagomo tidak terhenti di situ kerana masih banyak lagi kes yang sedang berjalan di mahkamah.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki telah memfailkan saman sebanyak RM1 juta terhadap Papagomo atas dakwaan menyebarkan tohmahan berhubung pengagihan tender makanan dan projek Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), serta dakwaan salah guna dana MARA untuk membeli lembu korban.
Selain itu, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) telah mengeluarkan Notis Tuntutan Gantirugi terhadap Papagomo selepas dia tergamak menyamakan logo persatuan tersebut dengan dajal. ABIM sebelum itu turut menggesa Papagomo menarik balik kenyataannya.
Papagomo turut berdepan prosiding mahkamah membabitkan kes saman fitnah terhadap Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil. Papagomo mendakwa Fahmi berkempen serta menyampaikan ceramah politik dalam masjid pada 2023.
Papagomo bukan seorang individu yang ditindas oleh mana-mana sistem. Dia adalah mangsa yang terkena corak kandungan media sosialnya sendiri.
Berulang kali mahkamah mendapati hantaran-hantarannya melanggar undang-undang negara.
Akibatnya, dia bukan sahaja kehilangan wang berjuta-juta ringgit untuk membayar ganti rugi dan kos guaman, malah pernah dipenjarakan, dipaksa meminta maaf secara terbuka dan terus diheret ke mahkamah.
Wang yang mungkin datang daripada 'penyokong fanatiknya' kini habis digunakan untuk menyelesaikan hutang saman mahkamah.
Kalau benar Papagomo mempunyai prinsip, dia sepatutnya belajar untuk menggunakan platform media sosial dengan lebih bertanggungjawab.
Papagomo bukanlah seorang 'pejuang rakyat'. Banyak kandungannya lebih banyak menyerang daripada memberikan fakta yang sebenar.
Sehingga kini, apakah jasa dan sumbangannya kepada rakyat menerusi kandungan media sosialnya?
Tiada dan rekod membuktikan kebanyakan hantaran-hantarannya lebih bersifat buruk berbanding kebaikan.
Bagi penyokong setia Papagomo, sudah tiba masanya bertanya kepada diri sendiri, adakah dia benar-benar 'pejuang' yang anda cari atau seorang individu yang seronok menghina orang lain semata-mata di media sosial?
Comments
Post a Comment